Backliindex - Tiga individu rentung selepas kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas merempuh tembok jambatan di Jalan Kampung Seri Lanchang, Merlimau, di sini, pagi tadi.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farid Abu Bakar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 9.09 pagi.
Beliau berkata, sepasukan 11 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
"Sejurus tiba jam 9.16 pagi di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati sebuah kereta Proton Iswara terbabas melanggar tembok jambatan dan terbakar 90 peratus.
"Terdapat tiga mangsa terperangkap di dalam kenderaan itu dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan," katanya di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata tiga mangsa yang maut itu adalah pemandu teksi dan pasangan suami isteri penumpang warga emas.
Katanya, mangsa yang maut ialah pemandu, S Subbramaniam, 71, dan penumpang, Husali Umar, 84, dan isterinya, Mastura Said, 60.
"Polis menerima laporan kemalangan daripada orang awam jam 9.30 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi untuk melakukan siasatan.
"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila teksi yang dalam perjalanan dari Jasin ke Merlimau itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar tembok jambatan.
"Akibat rempuhan itu, kereta terbabit terbakar dan menyebabkan semua mangsa rentung," katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca Juga : Nilai Pasaran Faisal Menurun
Beliau berkata, pihaknya difahamkan pasangan warga emas itu dalam perjalanan dari Semujuk untuk menziarahi anak mereka di Merlimau dan berada di tempat duduk belakang.
"Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas tenaga gas asli (NGV) yang dipasang pada kenderaan akibat daripada kemalangan.
"Mayat semua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut
Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

No comments:
Post a Comment