Seorang suri rumah yang juga pengarah dua syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan bersubahat melakukan penculikan bagi tujuan menuntut wang tebusan RM20 juta, bulan lalu.
Wanita berkenaan, Chan Wan Kooi, 57, yang didakwa di hadapan Hakim Hazeelia Muhammad, faham pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ibu tiga anak dan nenek kepada empat cucu itu memandangkan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Wanita itu didakwa melakukan subahat jenayah dengan Chong Shih Ming, Luong Van Tung dan Tran Van Chung, menculik seorang lelaki berusia 59 tahun dengan tujuan menuntut wang tebusan RM20 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Straits View, di sini, kira-kira jam 5 pagi, 13 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

No comments:
Post a Comment